• Home
  • PPM
  • Anugerah Perkhidmatan Pengakap Negeri Pulau Pinang

ANUGERAH PERKHIDMATAN PENGAKAP NEGERI PULAU PINANG

ANUGERAH PERKHIDMATAN PENGAKAP NEGERI PULAU PINANG

(Dizahirkan pada 1 Ogos 2018)

 

BINTANG BAKTI SETIA MUTIARA

(Bentuk : Sijil dan Pingat - Selempang)

Bintang Bakti Setia Mutiara merupakan anugerah tertinggi dalam susunan Anugerah Perkhidmatan Pengakap Negeri Pulau Pinang. Bintang ini dianugerahkan kepada tokoh-tokoh yang terbilang sahaja. Anugerah yang dihadkan bilangan penerima kepada tiga (3) orang penerima sahaja setiap tahun ini menjadikannya amat eksklusif.

Tokoh-tokoh yang paling layak menerima bintang ini ialah Tuan Yang Terutama Yang di-Pertua Negeri, Y.A.B. Perdana Menteri, Y.A.B. Timbalan Perdana Menteri, Y.A.B. Ketua-ketua Menteri, Y.A.B. Menteri-menteri Besar, Y.B. Menteri-menteri Kabinet, Y.B. Ahli-ahli Parlimen atau Y.B. Ahli-ahli Dewan Undangan Negeri.

Bintang ini juga boleh dianugerahkan kepada pemimpin-pemimpin pengakap di peringkat kebangsaan, negeri atau orang perseorangan sama ada dari dalam atau luar negara yang telah memberi khidmat jasa yang amat unggul dan penuh wibawa kepada pergerakan pengakap di Negeri Pulau Pinang. Penganugerahan kepada tokoh-tokoh dari luar negara adalah atas status Kehormat.

Bintang Bakti Setia Mutiara terdiri daripada tiga lapisan bintang berbucu tujuh. Lapisan pertama mengandungi bintang berlogo Pengakap ditengahnya dengan dikelilingi tujuh logo Pengakap yang melambangkan tujuh Daerah Pengakap di Negeri Pulau Pinang serta enamel biru beralunan ombak laut melambangkan laut yang mengelilingi Pulau Pinang. Lapisan ini berukuran diameter 60.00 mm dan disaluti emas. Lapisan kedua mengandungi bintang berukuran diameter 69.85 mm dan disaluti perak. Lapisan ketiga mengandungi bintang berukuran diameter 82.25 mm dan disaluti emas. Bintang Bakti Setia Mutiara dilengkapi dengan kain selempang dengan lebar 101.60 mm.

 

 

BINTANG KEBAKTIAN MUTIARA

(Bentuk : Sijil dan Pingat - Kalung)

Bintang Kebaktian Mutiara adalah anugerah kedua tinggi dalam susunan Anugerah Perkhidmatan Pengakap Negeri Pulau Pinang. Bintang ini dianugerahkan kepada tokoh-tokoh yang telah memberikan perkhidmatan yang amat gemilang terhadap kemajuan pergerakan pengakap dalam negeri. Bilangan penerima bintang ini dihadkan kepada lima (5) orang penerima sahaja setahun.

Tokoh-tokoh yang paling layak menerima bintang ini ialah Y.A.B. Perdana Menteri, Y.A.B. Timbalan Perdana Menteri, Y.A.B. Ketua-ketua Menteri, Y.A.B. Menteri-menteri Besar, Y.B. Menteri-menteri Kabinet, Y.B. Ahli-ahli Parlimen atau Y.B. Ahli-ahli Dewan Undangan Negeri.

Bintang ini juga boleh dianugerahkan kepada pemimpin-pemimpin pengakap di peringkat kebangsaan, negeri atau orang perseorangan yang telah terbukti khidmat bakti mereka yang gemilang dalam memajukan pergerakan pengakap di Negeri Pulau Pinang.

Bintang Kebaktian Mutiara terdiri daripada dua lapisan bintang berbucu tujuh. Lapisan pertama mengandungi bintang berlogo Pengakap ditengahnya dengan dikelilingi tujuh logo Pengakap yang melambangkan tujuh Daerah Pengakap di Negeri Pulau Pinang dengan ukuran diameter 60.00 mm. Lapisan kedua mengandungi bintang berukuran diameter 69.85 mm. Bintang Kebaktian Mutiara disaluti emas, perak dan enamel putih dilengkapi pita kalung dengan lebar 38.00 mm.

 

 

BINTANG KESETIAAN MUTIARA

(Bentuk : Sijil dan Pingat - Kalung)

Bintang Kesetiaan Mutiara adalah anugerah ketiga tinggi dalam susunan Anugerah Perkhidmatan Pengakap Negeri Pulau Pinang yang hanya disampaikan kepada tokoh-tokoh yang telah menyumbang kepada keunggulan, kemajuan dan kejayaan pergerakan pengakap dalam negeri. Bilangan penerima bintang ini dihadkan kepada lima (5) orang penerima sahaja setahun.

Tokoh-tokoh yang paling layak menerima bintang ini ialah Y.A.B. Perdana Menteri, Y.A.B. Timbalan Perdana Menteri, Y.A.B. Ketua-ketua Menteri, Y.A.B. Menteri-menteri Besar, Y.B. Menteri-menteri Kabinet, Y.B. Ahli-ahli Parlimen atau Y.B. Ahli-ahli Dewan Undangan Negeri. Pemimpin-pemimpin badan berkanun atau swasta yang terbukti gemilang perkhidmatan mereka juga boleh dianugerahkan bintang ini.

Bintang ini juga boleh dianugerahkan kepada pemimpin-pemimpin pengakap di peringkat kebangsaan, negeri atau orang perseorangan sama ada dari dalam atau luar negara yang telah terbukti kegemilangan bakti mereka dalam memajukan pergerakan pengakap di Negeri Pulau Pinang. Penganugerahan kepada tokoh-tokoh dari luar negara adalah atas status Kehormat.

Bintang Kesetiaan Mutiara terdiri daripada dua lapisan bintang berbucu tujuh. Lapisan pertama mengandungi bintang berlogo Pengakap ditengahnya dengan dikelilingi tujuh logo Pengakap yang melambangkan tujuh Daerah Pengakap di Negeri Pulau Pinang dengan ukuran diameter 60.00 mm. Lapisan kedua mengandungi bintang berukuran diameter 69.85 mm. Bintang Kesetiaan Mutiara disaluti perak dan enamel kuning dilengkapi pita kalung dengan lebar 38.00 mm.

 

 

PINGAT GEMILANG MUTIARA

(Bentuk : Sijil dan Pingat)

Pingat Gemilang Mutiara dianugerahkan kepada pemimpin-pemimpin bertauliah yang telah banyak menabur jasa, bakti dan khidmat gemilang di peringkat negeri, daerah atau kumpulan di bawah PPM Negeri Pulau Pinang dengan tempoh perkhidmatan yang tidak kurang daripada 15 tahun di Negeri Pulau Pinang. Bilangan penerima pingat ini dihadkan kepada lapan (8) orang penerima sahaja setahun.

Pingat ini juga boleh dianugerahkan kepada individu seperti pegawai tinggi  sesuatu institusi, badan berkanun atau swasta yang telah banyak menyumbang, menyokong serta terlibat secara jitu dalam menjayakan program kepengakapan di Negeri Pulau Pinang.

Reka bentuk Pingat Gemilang Mutiara mengandungi bintang tujuh bucu berukuran diameter 50.80 mm dengan logo Pengakap ditengahnya dan dikelilingi tujuh lambang Pengakap yang mewakili tujuh Daerah Pengakap di Negeri Pulau Pinang. Pingat ini disaluti emas dan enamel biru dilengkapi pita dada dengan lebar 34.00 mm.

 

 

PINGAT CEMERLANG MUTIARA

(Bentuk : Sijil dan Pingat)

Pingat Cemerlang Mutiara dianugerahkan kepada pemimpin-pemimpin bertauliah yang telah banyak menabur jasa, bakti dan khidmat gemilang di peringkat negeri, daerah atau kumpulan di bawah PPM Negeri Pulau Pinang dengan tempoh perkhidmatan yang tidak kurang daripada 10 tahun di Negeri Pulau Pinang. Bilangan penerima pingat ini dihadkan kepada sepuluh (10) orang penerima sahaja setahun.

Pingat ini juga boleh dianugerahkan kepada individu seperti pegawai sesuatu institusi, badan berkanun atau swasta yang telah banyak menyumbang, menyokong serta terlibat secara jitu dalam menjayakan program kepengakapan di Negeri Pulau Pinang.

Reka bentuk Pingat Cemerlang Mutiara mengandungi bintang tujuh bucu berukuran diameter 50.80 mm dengan logo Pengakap ditengahnya dan dikelilingi tujuh lambang Pengakap yang mewakili tujuh Daerah Pengakap di Negeri Pulau Pinang. Pingat ini disaluti emas dan enamel putih dilengkapi pita dada dengan lebar 34.00 mm.

 

 

PINGAT KEPUJIAN MUTIARA

(Bentuk : Sijil dan Pingat)

Pingat Kepujian Mutiara dianugerahkan kepada tokoh-tokoh dan individu-individu serta pemimpin-pemimpin bertauliah di bawah PPM Negeri Pulau Pinang dengan tempoh perkhidmatan yang tidak kurang daripada 5 tahun di Negeri Pulau Pinang. Bilangan penerima pingat ini dihadkan kepada lima belas (15) orang penerima sahaja setahun.

Pingat ini juga boleh dianugerahkan kepada pemimpin-pemimpin pengakap atau orang perseorangan dari luar negara yang telah banyak menabur jasa bakti yang terpuji terhadap kemajuan pergerakan pengakap di Negeri Pulau Pinang. Penganugerahan kepada penerima dari luar negara adalah atas status Kehormat.

Reka bentuk Pingat Kepujian Mutiara mengandungi bintang tujuh bucu berukuran diameter 50.80 mm dengan logo Pengakap ditengahnya dan dikelilingi tujuh lambang Pengakap yang mewakili tujuh Daerah Pengakap di Negeri Pulau Pinang. Pingat ini disaluti perak dan enamel kuning dilengkapi pita dada dengan lebar 34.00 mm.

 

 

ANUGERAH KHIDMAT MULIA

(Bentuk : Sijil dan Ribben)

Anugerah Khidmat Mulia dianugerahkan kepada pemimpin-pemimpin bertauliah atau individu yang telah memberi khidmat bakti yang terpuji serta mempunyai tingkah laku dan budi pekerti yang baik kepada PPM Negeri Pulau Pinang.

Anugerah Khidmat Mulia terdiri daripada pita dada dengan lebar 34.00 mm.

 

 

ANUGERAH KHIDMAT SETIA

(Bentuk : Sijil dan Ribben)

Anugerah Khidmat Setia dianugerahkan kepada pemimpin-pemimpin bertauliah atau individu yang telah memberi khidmat setia yang terpuji kepada PPM Negeri Pulau Pinang.

Anugerah Khidmat Setia terdiri daripada pita dada dengan lebar 34.00 mm.

 

 

ANUGERAH KHAS KHIDMAT MULIA MUTIARA

(Bentuk : Sijil dan Ribben)

Anugerah Khas Khidmat Mulia Mutiara dianugerahkan khas kepada mereka yang telah berusaha menjayakan penzahiran Anugerah Perkhidmatan Pengakap Negeri Pulau Pinang.

Seramai 4 individu telah dianugerahkan anugerah ini.

 

 

ANUGERAH KHAS KHIDMAT SETIA MUTIARA

(Bentuk : Sijil dan Ribben)

Anugerah Khas Khidmat Setia Mutiara dianugerahkan khas kepada petugas-petugas yang telah menyumbangkan perkhidmatan yang cemerlang dalam menjayakan Majlis Penzahiran Anugerah Perkhidmatan Pengakap Negeri Pulau Pinang pada 1 Ogos 2018.

Seramai 82 orang petugas telah dianugerahkan anugerah ini.


Print

  • Alamat: Wisma Pengakap, Solok Scottland,
    10450 Pulau Pinang, Malaysia
  • Tel: +604-828 2506

Show Route

Like Us